Monday, August 2, 2010

Anak Sanusi Junid terajui MAYC

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/08/01

Akhramsyah Sanusi
Akhramsyah Sanusi
PETALING JAYA: Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) mulai semalam diterajui muka baru, Akhramsyah Sanusi selepas 11 tahun dipimpin Tan Sri Syed Hamid Albar, sekali gus menyegarkan kembali pertubuhan berusia 54 tahun itu yang selama ini bergolak.

Akhramsyah, 36, anak pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid, dipilih sebulat suara pada mesyuarat agung tahunan (AGM) MAYC bagi tempoh 2010/2012.

Pertubuhan itu dianggotai 311 kelab gabungan dipimpin Syed Hamid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, sejak 1999 selepas mengambil alih daripada Sanusi yang menerajuinya selama 28 tahun.

AGM yang diadakan di sini semalam adalah yang pertama dalam tempoh lima tahun.

AGM itu sepatutnya diadakan pada 2006 tetapi ditangguhkan sehingga 2007 tetapi masih gagal diadakan berikutan masalah dalaman.

Kepemimpinan MAYC yang dipilih adalah muka baru termasuk timbalan presiden, Abdul Karim Mohamad manakala Setiausaha Agung, Ahmad Ansor Mohd Rivai Batubara.

Ketika ditemui selepas AGM itu, Akhramsyah yang juga pengurus operasi peruncitan sebuah syarikat minyak antarabangsa, berkata matlamat utama kepemimpinannya ialah menyelamatkan MAYC daripada dibubarkan berikutan krisis kepemimpinan pertubuhan itu. 
“MAYC sudah menerima beberapa surat amaran meminta AGM diadakan tetapi terus ditangguhkan tanpa diberi sebarang tarikh. Pejabat Pendaftar Belia (ROY) tidak mengambil kira itu semua kerana mengikut perlembagaan, AGM mesti diadakan.

“Ahli juga mahukan kepemimpinan muda menerajui kelab ini tetapi kami tidak sekali-kali mengenepikan pandangan orang veteran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjemput Syed Hamid selaku pemimpin MAYC sebelum ini, untuk menghadiri AGM itu. Syed Hamid tidak hadir pada majlis itu.

“Kami menjemput semua pihak tetapi perwakilan dari Kelantan, Pahang dan Melaka tidak hadir. Perwakilan Kelantan memberi alasan salah seorang wakil rakyat mereka sedang nazak tetapi agak terkilan ketidakhadiran perwakilan Pahang dan Melaka. Namun kita masih bersangka baik, mungkin mereka ada hal yang tidak dapat dielakkan.

“Mungkin mereka mengambil nasihat pihak lain supaya tidak menghadiri AGM kali ini. Saya bersyukur kerana pemilihan perwakilan kali ini berjalan lancar. Kepemimpinan lama juga perlu terbuka untuk menerima orang muda. Mereka boleh mempengaruhi tetapi jangan menghalang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar laporan kepada ROY mengenai situasi terkini selepas AGM dan pemilihan diadakan dan menunggu tindakan ROY selanjutnya. 

No comments:

Post a Comment