Thursday, August 5, 2010

Makmal Transformasi Pembangunan Belia

KENYATAAN MEDIA
(KUALA LUMPUR, OGOS 5, 2010)
MAYC menyokong usaha kerajaan menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia (Youth Development Transformation Laboratory) sebagai jalancara mencetus idea demi menyediakan golongan Belia untuk memikul cabaran negara maju pasca 2020. Tumpuan khusus kepada "golongan yang baru atau bakal" Belia dari Generasi Y juga relevan dan cukup dekat di hati golongan belia sekarang, terutama Genarasi X yang kini juga terdiri dari ibubapa kepada Generasi Y yang dimaksudkan.

MAYC sedia menyumbang ke arah kejayaan Makmal tersebut melalui penyertaan secara langsung atau tidak langsung. Sesungguhnya pentas idea seperti Makmal Transformasi Pembangunan Belia merupakan peluang keemasan bagi golongan Belia, terutama sekali para pemimpin mahupun ahli-ahli Belia berpersatuan untuk menyumbang kepada usaha membentuk masa depan negara yang aman, makmur dan dinamis sesuai dengan prinsip-prinsip 1Malaysia.

Pada masa yang sama, MAYC juga menghargai keperihatinan kerajaan terhadap perlunya sedikit sebanyak rombakan kepada program-program belia supaya lebih sesuai untuk Generasi Y mahupun Generasi X. MAYC juga sedia menyumbang ilham, pandangan mahupun usaha untuk menjayakan apa-apa pembaharuan (INOVASI) yang dirasakan akan membawa lebih manfaat kepada golongan belia alaf baru.

Dalam masa yang sama, kami juga menerima pelbagai maklum balas dari kalangan rakan-rakan belia yang tidak berpersatuan mahupun para mahasiswa akan sambutan baik dan memberangsangkan daripada mereka berkenaan hasrat kerajaan menubuhkan Makmal tersebut.

AKHRAMSYAH MUAMAR UBAIDAH BIN SANUSI 
PRESIDEN MAYC KEBANGSAAN

No comments:

Post a Comment