Saturday, September 25, 2010

MAYC KEBANGSAAN MENOLAK SEBARANG USAHA YANG MENGELIRUKAN AHLI-AHLI MAYC

KENYATAAN AKHBAR (MAYC)
MAYC KEBANGSAAN MENOLAK SEBARANG USAHA YANG MENGELIRUKAN AHLI-AHLI MAYC.
1.       Pada hari ini, Ahad, 26 September, 2010, satu “Mesyuarat Agung Tahunan MAYC” dikatakan diadakan di suatu Dewan di Wisma Belia MAYC.
2.       Ianya , secara kononnya, bersandarkan suatu Notis Mesyuarat Agung yang ditandatangani oleh seorang yang bernama Syed Abdul Rahman (SAR), kononnya, beliau adalah Setiausaha Agung MAYC.
3.       SAR memanglah seorang Setiausaha Agung MAYC semenjak dilantik pada tahun 2005, bagaimanapun Perlembagaan MAYC hanya memberikan kuasa kepadanya hanya untuk tempoh dua (2) tahun sahaja.  Kami merujuk kepada Fasal 18 Perlembagaan MAYC.
4.       Semenjak tahun 2006 hingga 2010, MAYC Kebangsaan tidak pernah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunannya.
5.       Pada 31 Julai 2010, satu Mesyuarat Agung Tahunan MAYC telah diadakan dan Saudara Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi telah dipilih sebagai Presiden MAYC bagi sessi 2010-2012. Ianya telah mendapat liputan yang luas oleh pihak media sendiri. Dan pemilihanya amat disenangi oleh kepimpinan utama Negara.
6.       Meskipun terdapat “bantahan” yang mana prosedur bantahan tersebut amat diragui, satu pertemuan antara JK MAYC Kebangsaan 2010-2012 dengan YB Menteri Belia dan Sukan  pada 02 September, 2010 (hari Khamis) berkesudahan dengan ditetapkan satu Panel Penyelesaian Pertikaian (PPP) menurut Seksyen 29(2) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta668). Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Penasihat Undang-undang KBS.
7.       Bagaimanapun tarikh Bicara untuk PPP masih belum ditetapkan oleh pihak ROY.
8.       Kami juga difahamkan bahawa “Mesyuarat Agung Tahunan” yang diadakan pada hari ini hanya dipanggil ahli-ahli yang tertentu dan juga turut dihadiri oleh bukan perwakilan MAYC yang sah.
9.       Kami juga telah disahkan bahawa tiada jemputan hadir Mesyuarat kepada majoriti ahli MAYC melebihi 200 kelab belia berdaftar. Kepimpinan MAYC Negeri dan MAYC Kawasan secara majoritinya juga turut tidak dipanggil.
10.   Apa yang sedang berlaku hari ini ialah suatu manifestasi anti-demokrasi yang cuba ditunjukkan kepada masyarakat khususnya golongan belia. Dan sikap sebegini amat ditentang oleh Perlembagaan Persekutuan.
11.   “Mesyuarat Agung Tahunan” yang hanya memanggil “ahli terpilih (selected members)” sudah pasti akan difahami sebagai “ada sesuatu yang ingin diselindungkan” atau mempunyai tujuan-tujuan yang berniat jahat (malafide).
12.   Justeru, kami mempunyai tanggungjawab sosial malah ia sebenarnya suatu tanggungjawab legal untuk menolak sebarang usaha yang cuba mengelirukan ahli-ahli MAYC, khususnya para belia di seluruh Negara.
Bertarikh 26/09/2010
AZMI BIN ISMAIL, Naib Presiden MAYC Kebangsaan
AHMAD ANSOR, Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan
Oleh dan bagi pihak MAYC Kebangsaan

No comments:

Post a Comment