Friday, December 31, 2010

Melaboh Tirai 2010 dengan penuh keazaman.......KBS bangkitlah dari tidurmu yang panjang???

Untuk lebih berjaya. Untuk berdaya maju. Untuk lebih ke hadapan. Belia dambakan suatu medan perjuangan yang lebih telus dan berani. Kini pergerakan belia dilihat lebih bermaya sebelum Akta 668 mengambil tempat. Namun empat sudut kotak undang-undang semata tanpa suntikan tenaga takkan mampu menggerakkan enjin yang mahu bergerak. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mesti punya daya refleksi memahami permasalahan asas sebegini.

Usahlah bawa cadangan yang jauh dari misi sebenar bagaimana belia harus digerakkan. Bank Belia ibarat omongan kosong yang tiada membawa erti apa-apa melainkan khayalan yang sukar untuk dilihat jadi realiti. Segeralah berjejak di atas tanah yang masih subur dengan air hujan. Jangan nanti kemarau mendatang, tanah langsung akan terus merekah dan kontang. Ketika bumi suburlah benih mesti disemai kerana tanah sedemikian sudah sediakalanya berbaja.

Berlari mengejar pelangi pasti tak akan sampai ke destinasi. Hanya memegunkan kepimpinan belia dengan janji-janji kosong warna sang pelangi indah. Namun lopong. Belia tidak mahu dpermainkan begitu.

Sebagai golongan yang paling interaktif, belia mahukan sesuatu lebih lebih telus, jujur dan ikhlas. Barulah akan dapat dilihat ketaatan dari luhur hati mereka. Namun jika belia dikasari dengan herdikan disuruh membanting tulang sendiri sebelum menanak nasi, pasti belia akan meninggalkan persada pergerakan belia yang bertujuan untuk membangunkan daya kepemimpinan belia.

Institusi pergerakan belia adalah suatu institusi latihan kepemimpinan. Ianya bukanlah institusi pergerakan politik pilihanraya. Institusi ini tidak mengerti helah mainan ala politikus usang. Institusi ini jua tiada kenal budaya herdik maki hamun jelekan. Institusi ini amat bermaruah. Amat mengesankan ahli-ahlinya. Institusi ini kadang sentimental kerana ia mengajar erti perjuangan. Kesusahan biasa jadi santapan harian. Kepayahan jua adalah sebahagian catatan diari penggembleng institusi pergerakan belia ini. Jangan diambil kesempatan atas sikap naif keadaan sedemikian dengan mereka dijadikan kuda gembalaan. Adakanlah sedikit rasa hormat dan kasihan kepada semua pendukung pergerakan belia itu.

Itu sebahagian yang berfikiran harus tutur kata jadi lembut simfoninya. Namun ada juga ingin kasar tegas, marah menjerit. Kata mereka.... Mahu lantang Macam suara puitis Pak Chairil Anwar dalam sajaknya "Aku", puisinya "Semangat! Mahu gegar tanah Semenanjung ini hingga suara di Borneo bisa mendengar rintihan. Bukan nak merintih tapi nak memberitahu. Bukan sekadar nak mengkhabarkan tapi mahu ianya dibuat begini dan begini.

Ini zaman pasca moderen. Ini zaman maklumat sampai sederas teknologi. Ini zaman mereka bilang media baru. Jaringan sosial bertautan. Bukan sekadar jeritan ala "Jamban Setinggan" dalam coretan Pak Samad Said. Itu zaman itu. Zaman Pak Menteri dan zaman Dato' KSU dan Dato' KP. Ini zaman anak usia pra sekolah sudah pandai berbicara dan berbahas.

Makanya, Kementerian Belia dan Sukan mesti tahu. Bukan sekadar portfolio Sukan yang mereka teraju malah sebenarnya mereka harus, mesti dan faham bahawa mereka terajui suatu bidang yang amat penting dalam struktur kependudukan di Malaysia. Iaitu golongan belia!!!!!

Golongan belia itu siapa? Banyak benar kini istilah lain yang menafsirkan golongan belia di Malaysia. Dalam koleksi negatif kita boleh tulis mereka sebagai shufflers, punksters, rappers, techtonic boys n girls, head bangers, rider maut, 3 line dan bagai-bagai lagi. Adapun golongan ala-negatif kita juga panggil mereka drifters, draggers, bikers dan bagai-bagai juga. Mereka juga ada yang jadi penyumbang anak-anak Malaysia tanpa bapa. Anak-anak Malaysia Tong Sampah dan bagai-bagai ragam.

Golongan belia tersebut juga sedang menjadi pembentuk budaya Tanpa Sijil Nikah Yang Sah. Mereka juga sedang merancang untuk menjadi perompak antarabangsa dalam metode Cyber Criminial. Apakah KBS sedar ini semua? Apakah KBS masih buta Teknologi Maklumat dan Teknologi Bicara. Adakah KBS nak menunggu Teknologi Gelombang yang memperkenalkan perkakasan hologram. Ini baru zaman Televisyen dan jangan menanti zaman Telepresence sampai di bumi Asia Tenggara.

KBS mesti segera peka dan peka dan lebih peka dan terus peka kepada perubahan secara digital yang cukup mendadak dan meledak.  Usah menung dan menagih korupsi akal yang tak mampu nak meneroka peredaran masa yang pantas dan amat pantas. Usahlah didadahi dengan budaya cukup muat dengan berkata... Eh! kami sudah buat itu dan ini. Sedangkan itu semua sudah dilapuki detik saat jarum jam yang berdetak.

Barangkali kesombongan jiwa dan rohani, maka KBS terus mundur dan memundur ke belakang. Tiada lagi tahu dan mahu. Tiada lagi ingin dan kepingin. Lalu belia Malaysia jadi jiwa dan jasad yang terpenjara dalam edaran masa dan tempat. Turunlah ke bawah dan jadi belia semula. Bukan sahaja Akta mesti diaktai malah sikap jua mesti disikapi. Agar nanti Malaysia tidak jadi anarki dek kerana tiada orang lagi yang mahu memimpin dan dipimpini.

Gelodak budaya pasca moderen pasti tiada kenal erti noktah. Budaya pasca moderen mahu jadi lebih ganas dan mengganas. Sasaran budaya ini adalah golongan belia kerana golongan inilah yang boleh diperdaya walau melalui telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas.. Seringkas nano dan belia pun dipangkas jiwanya. 

Wednesday, November 17, 2010

Harta-harta MAYC akan dikaveat

Inilah usaha jahat untuk memindahmilik Hartanah Milik MAYC pada tahun 2004

Sebagaimana yang dinyatakan di Blog Kelab Veteran MAYC Malaysia, suatu persetujuan telah diambil oleh kedua-dua pihak Jawatankuasa Mayc Kebangsaan dan KVMM untuk mengkaveat kesemua hartanah milik organisasi.

Ini berikutan, kuatnya desas desus hartanah tersebut akan dipindahmilikkan kepada pihak ketiga. Hartanah MAYC tersebut telah diperolehi hasil usaha pejuang-pejuang MAYC terdahulu. Ianya adalah warisan organisasi untuk dimanfaatkan oleh generasi berikut.

Maka demikian, sebarang usaha untuk mensabotaj atau memindahmilik hartanah MAYC hendaklah dihalang sama sekali.

Mayc Kebangsaan telah melantik peguam untuk mengendalikan urusan mengkaveat hartanah tersebut. beberapa juga tindakan secara legal akan diambil kepada pihak-pihak yang telah menyalahgunakan harta dan hakmilik MAYC akan menyusul kemudian.

Thursday, November 4, 2010

Marilah Kita Membantu Mangsa Banjir - 1 Misi Bantuan Banjir (Ban Ban)

 

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan BANTUAN BANJIR BOLEH DISUMBANGKAN KE Mayc Arau (PERLIS) DENGAN MENGHUBUNGI 0125534423 / 0175599767

4 minutes ago · · · Promote

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan BANATUAN BANJIR BOLEH DISUMBANGKAN KE MAYC KEDAH DENGAN MENGHUBUNGI Asmawati Mohd Shukor dan Ku Iskandar dan Shaharol Niza Omar (wira perkasa kedah) atau menghubungi 0195763030 / 0125074857 / 0124570469

7 minutes ago · · · Promote

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan BANTUAN BANJIR BOLEH DISUMBANGKAN KE Mayc Penang DGN MENGHUBUNGI 0174917817 / 0194803773 / 013415195 / 0174731970

11 minutes ago · · · Promote

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan Anda boleh membantu dengan menghulurkan sumbangan PAMPERS, AIR MINERAL, MAKANAN SEGERA & TIKAR..... MARILAH KITA SEMUA HULURKAN SUMBANGAN

14 minutes ago · · · Promote

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan Pelancaran 1 Misi BanBan - Bantuan Banjir telah disempurnakan petang tadi jam 3 ptg di Hotel Nasmir

16 minutes ago · · · Promote

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan

1 Misi Bantuan Banjir Mayc Kebangsaan Marilah kita semua membantu Mangsa Banjir di Kedah dan Perlis

Sunday, October 31, 2010

KENYATAAN AKHBAR: Kedudukan Terkini MAYC Kebangsaan Pada Akhir Oktober 2010

KENYATAAN AKHBAR: Kedudukan Terkini MAYC Kebangsaan Pada Akhir Oktober 2010
Pada 12 Oktober 2010, akhbar Utusan Malaysia telah mewartakan tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa saudara Akhramsyah Sanusi, selaku Presiden MAYC yang terpilih pada Mesyuarat Agung 31 Julai 2010, bukan sekadar tidak sah perjawatannya malah berbohong tentang rancangan AJK Tan Sri untuk mengalihkan semua harta MAYC ke Yayasan MAYC.
Pada laporan yang sama, Tan Sri Syed Hamid telah menyatakan laporan polis akan dibuat terhadap tindakan-tanduk saudara Akhramsyah Sanusi. Susulan dari itu, MAYC Kebangsaan ingin memberi maklum-balas berikut:
1.    Ketetapan tentang sah atau tidaknya saudara Akhramsyah Sanusi sebagai Presiden MAYC tidak berada di bawah bidang kuasa Tan Sri Syed Hamid Albar. Walaupun menghormati kedudukan beliau sebagai bekas Presiden MAYC Kebangsaan, Jawatankuasa MAYC Kebangsaan yang dipilih Mesyuarat Agung pada 31 Julai 2010 ingin menyarankan beliau menjauhkan diri dari anasir-anasir yang ingin mempergunakan beliau untuk merebut hak ahli-ahli kelab-kelab belia gabungan MAYC.
MAYC menyarankan demikian demi menjamin integriti Tan Sri Syed Hamid sendiri selaku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kami tidak mahu kedudukan dan nama baik Tan Sri bertambah terjejas hasil penglibatan berterusan beliau dalam usaha anasir-anasir tertentu memorak-perandakan MAYC demi kepentingan peribadi.
2.    Saudara Akhramsyah Sanusi masih menerima sokongan majoriti kelab-kelab gabungan MAYC. Jawatankuasa pimpinan beliau juga terus aktif menjalankan program dengan gandingan MAYC-MAYC Negeri. Contohnya, sepanjang Oktober, pelbagai program dilaksanakan untuk membangun kepimpinan dan keupayaan mentadbir pemimpinan belia MAYC pada peringkat Kelab dan Kawasan, dianjurkan di Negeri Sembilan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan dengan penyertaan belia dari seluruh negara.
Oleh itu, tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang pembohongan saudara Akhramsyah Sanusi tempohari ternampak ditolak sama-sekali oleh golongan belia MAYC. Malah, saudara Akhramsyah kelihatan semakin popular kerana tuduhan Tan Sri menjadi seolah-olah bukti keberanian beliau. Lebih buruk untuk Tan Sri Syed Hamid, beliau tidak menjawab secara terperinci persoalan pokok tentang rencana mengalihkan harta MAYC, maka kecurigaan tentang rencana tersebut semakin menular.
3.    Lebih buruk untuk MAYC, hasil kenyataan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang rencana melaporkan saudara Akhramsyah kepada polis, begitu banyak agensi kerajaan dan pihak swasta kini sangsi untuk meneruskan kerjasama dengan MAYC. Ini amat merugikan kelab-kelab belia MAYC. Padahal, sejak terbitnya laporan akhbar tersebut, pihak polis tidak pun mengambil apa-apa tindakan terhadap saudara Akhramsyah, mahupun AJK MAYC pimpinannya, menyebabkan kami tertanya-tanya sama ada betulkah laporan polis dibuat?
4.    MAYC kini menggesa pihak berkuasa, terutama sekali Kementerian Belia dan Sukan, baik Pendaftar Belia mahupun pejabat Menteri sekalipun untuk menyegerakan keputusan berkenaan kesahihan Mesyuarat Agung MAYC. Setakat ini pihak ROY sepatutnya sudah menerima bantahan yang di buat lebih daripada 55 Kelab, Kawasan atau Negeri gabungan MAYC bersabit Mesyuarat Agung 26 September 2010 yang tidak menepati kehendak perlembagaan dan menidakkan hak begitu ramai ahli kelab gabungan MAYC.
Sebagai perbandingan, Mesyuarat Agung MAYC pada 31 Julai yang memilih jawatankuasa pimpinan saudara Akhramsyah hanya dibantah oleh 2 pihak, yakni bekas Timbalan Presiden MAYC dan Pengerusi Negeri Melaka. Kami yakin bantahan dari kedua-dua pihak ini pun adalah hasil dari hasutan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ternyata MAYC masih bergerak maju demi belia 1Malaysia, cuma masalah timbul hasil dari usaha peribadi beberapa individu yang malangnya berjaya mempengaruhi Tan Sri Syed Hamid Albar.
Yang benar,
AZMI BIN ISMAIL (31 Oktober 2010)
Naib Presiden MAYC Kebangsaan, 019-4216119
Sila rujuk juga,
AHMAD ANSOR RIVAI BATUBARA
Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, 017-5972478



Thursday, October 14, 2010

Presiden MAYC di Astro Awani Malam ini

Ikutilah pandangan Presiden Mayc Kebangsaan Sdr Akhramsyah Sanusi diAstro Awani pada malam ni jam 8.15 malam dalam eksklusif bicara yang bertajuk "BAJET MARHAEN". ikutilah pandangan Belia Marhaen tentang bajet diluahkan dari lidah harimau Mayc Kebangsaan yang sah.

Tuesday, October 12, 2010

SEBAGAI RESPONS BALAS KEPADA KENYATAAN TANSRI SYED HAMID ALBAR, BEKAS PRESIDEN MAYC DALAM ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA, 12 OKTOBER, 2010 BERTAJUK AKHRAMSYAH BUAT FITNAH, BOHONG

KENYATAAN MEDIA

SEBAGAI RESPONS BALAS KEPADA KENYATAAN TANSRI SYED HAMID ALBAR, BEKAS PRESIDEN MAYC DALAM ARTIKEL UTUSAN MALAYSIA, 12 OKTOBER, 2010 BERTAJUK AKHRAMSYAH BUAT FITNAH, BOHONG

Saya, Abdul Karim bin Mohamad, Timbalan Presiden MAYC Kebangsaan membuat kenytaan media seperti berikut.

1.     Tan Sri Syed Hamid menyatakan dalam kenyataan medianya, bahawa  segala tuduhan serta dakwaan Akhramsyah Muamar Ubaidah kepadanya berhubung isu pemindahan harta MAYC “merupakan satu bentuk fitnah serta pembohongan besar yang sengaja dilakukan”.

2.     Saya ingin menyatakan bahawa Tan Sri Syed Hamid tidak boleh membuat penafian kosong di media bahawa beliau dan bekas kepimpinannya, tidak pernah terlibat dalam isu pemindahan harta MAYC kepada Yayasan MAYC atau apajua entiti lain.

3.     Ini adalah kerana bekas Setiausaha Agung MAYC di bawah kepimpinannya, Syed Abd Rahman bin  Tuan Kuning, berkali-kali menyebut bahawa harta MAYC perlu dipindahkan kepada Yayasan MAYC, sebagai alasan yang diberikan olehnya apabila ahli-ahli bertanya “bilakah nak adakan Mesyuarat Agung”.

4.     Oleh yang demikian, pihak kami mempunyai keyakinan bahawa usaha memindahkan harta MAYC kepada Yayasan sudah pastilah dilakukan pada Mesyuarat Agung yang mereka jalankan.

5.     Secara teknikalnya, meskipun ianya tidak dilafazkan secara tersurat di dalam AGM, tiada siapa boleh menghalang jika “AGENDA itu” diminitkan secara bertulis. Kita tidak akan mengetahuinya tetapi mereka boleh melakukannya kerana mereka mempunyai niat dan hasrat untuk memindahkan harta MAYC.

6.     Jika Tan Sri Syed Hamid jujur dan ikhlas dalam kenyataannya di media seperti berikut:-

“Saya telah menerajui MAYC sejak sekian lama dan dalam tempoh itu tidak terdetik di hati saya untuk mengambil atau makan wang MAYC sebaliknya wang saya yang digunakan untuk MAYC”
“Bagi saya MAYC adalah amanah dan saya bertanggungjawab untuk menjaganya sepanjang saya diberi kepercayaan menjadi Presiden.”
Maka, kami meminta Tan Sri Syed Hamid mahupun bekas kepimpinannya membuat akuan bersumpah, TIDAK AKAN MEMINDAH HARTA MAYC KEPADA YAYASAN MAYC atau apajua entiti lain SEBAGAI MEMBUKTIKAN KEBENARAN dalam kata-katanya.

7.     Ini adalah amat penting supaya semua ahli MAYC menjadi jelas bahawa harta MAYC tidak dipindahkan kepada Yayasan MAYC atau apa jua entiti lain. Dalam ertikata lain, Kompleks MAYC, Wisma Belia dan semua harta dan liabiliti MAYC akan terus kekal menjadi milik pertubuhan.

8.     Kami bagi pihak Jawatankuasa MAYC Kebangsaan yakin sepenuhnya dengan apa yang dilafazkan oleh Presiden MAYC, Sdr. Akhramsyah Muammar Ubaidah sebagai benar dan berasas sehinggalah ianya dibuktikan sebaliknya oleh Tan Sri Syed Hamid mahupun sesiapa sahaja di kalangan bekas pimpinannya.

9.     Dan jika Tan Sri Syed Hamid dapat bertegas menyatakan apa yang dia katakan itu benar (maknanya harta MAYC tidak dipindahkan), maka kami barisan Jawatankuasa MAYC Kebangsaan dengan disertai beratus ahli di kalangan kelab belia di seluruh Negara akan datang ke Kompleks MAYC dan Wisma Belia untuk mengambil pentadbirannya secara sah.

10.                         Kami berharap juga Tan Sri Syed Hamid tidak lagi ikut campur soal pertubuhan MAYC dan kita minta beliau tidak lagi mengulas apa-apa di media kerana beliau bukan lagi berstatus belia.

11.                        Kami tidak akan membuat Laporan Polis tentang isu pemindahan harta MAYC kerana pihak PDRM bukanlah badan penguatkuasa kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Bagaimanapun,  Jawatankuasa MAYC Kebangsaan juga sedang menyiapkan satu laporan lengkap tentang salah guna, salah urus dan penyelewengan harta MAYC oleh Tan Sri Syed Hamid dan barisan kepimpinannya kepada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Menteri Belia dan Sukan. Ini adalah kerana Akta 668 memberikan peruntukan kepada pihak Menteri dan orang-orang yang dilantik olehnya untuk menyiasat isu atau apajua masalah yang berkaitan dengan pertubuhan belia dan bukannya pihak polis.

Yang benar,

ABDUL KARIM BIN MOHAMAD
Timbalan Presiden MAYC Kebangsaan

Merangkap
Naib Presiden MBM
Timbalan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu
Pengerusi MAYC Negeri Terengganu
Bekas EXCO MAYC Kebangsaan (Sessi 2005-2007)


Saturday, September 25, 2010

MAYC KEBANGSAAN MENOLAK SEBARANG USAHA YANG MENGELIRUKAN AHLI-AHLI MAYC

KENYATAAN AKHBAR (MAYC)
MAYC KEBANGSAAN MENOLAK SEBARANG USAHA YANG MENGELIRUKAN AHLI-AHLI MAYC.
1.       Pada hari ini, Ahad, 26 September, 2010, satu “Mesyuarat Agung Tahunan MAYC” dikatakan diadakan di suatu Dewan di Wisma Belia MAYC.
2.       Ianya , secara kononnya, bersandarkan suatu Notis Mesyuarat Agung yang ditandatangani oleh seorang yang bernama Syed Abdul Rahman (SAR), kononnya, beliau adalah Setiausaha Agung MAYC.
3.       SAR memanglah seorang Setiausaha Agung MAYC semenjak dilantik pada tahun 2005, bagaimanapun Perlembagaan MAYC hanya memberikan kuasa kepadanya hanya untuk tempoh dua (2) tahun sahaja.  Kami merujuk kepada Fasal 18 Perlembagaan MAYC.
4.       Semenjak tahun 2006 hingga 2010, MAYC Kebangsaan tidak pernah menjalankan Mesyuarat Agung Tahunannya.
5.       Pada 31 Julai 2010, satu Mesyuarat Agung Tahunan MAYC telah diadakan dan Saudara Akhramsyah Muammar Ubaidah bin Sanusi telah dipilih sebagai Presiden MAYC bagi sessi 2010-2012. Ianya telah mendapat liputan yang luas oleh pihak media sendiri. Dan pemilihanya amat disenangi oleh kepimpinan utama Negara.
6.       Meskipun terdapat “bantahan” yang mana prosedur bantahan tersebut amat diragui, satu pertemuan antara JK MAYC Kebangsaan 2010-2012 dengan YB Menteri Belia dan Sukan  pada 02 September, 2010 (hari Khamis) berkesudahan dengan ditetapkan satu Panel Penyelesaian Pertikaian (PPP) menurut Seksyen 29(2) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta668). Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Dato’ Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Penasihat Undang-undang KBS.
7.       Bagaimanapun tarikh Bicara untuk PPP masih belum ditetapkan oleh pihak ROY.
8.       Kami juga difahamkan bahawa “Mesyuarat Agung Tahunan” yang diadakan pada hari ini hanya dipanggil ahli-ahli yang tertentu dan juga turut dihadiri oleh bukan perwakilan MAYC yang sah.
9.       Kami juga telah disahkan bahawa tiada jemputan hadir Mesyuarat kepada majoriti ahli MAYC melebihi 200 kelab belia berdaftar. Kepimpinan MAYC Negeri dan MAYC Kawasan secara majoritinya juga turut tidak dipanggil.
10.   Apa yang sedang berlaku hari ini ialah suatu manifestasi anti-demokrasi yang cuba ditunjukkan kepada masyarakat khususnya golongan belia. Dan sikap sebegini amat ditentang oleh Perlembagaan Persekutuan.
11.   “Mesyuarat Agung Tahunan” yang hanya memanggil “ahli terpilih (selected members)” sudah pasti akan difahami sebagai “ada sesuatu yang ingin diselindungkan” atau mempunyai tujuan-tujuan yang berniat jahat (malafide).
12.   Justeru, kami mempunyai tanggungjawab sosial malah ia sebenarnya suatu tanggungjawab legal untuk menolak sebarang usaha yang cuba mengelirukan ahli-ahli MAYC, khususnya para belia di seluruh Negara.
Bertarikh 26/09/2010
AZMI BIN ISMAIL, Naib Presiden MAYC Kebangsaan
AHMAD ANSOR, Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan
Oleh dan bagi pihak MAYC Kebangsaan

Friday, September 3, 2010

MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA

APAKAH RELEVANNYA VETERAN MAYC?
MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA
Barisan Pimpinan MAYC Kebangsaan bersama Tun Dr Mahathir
(sumber: http://sanusijunid.blogspot.com/2010/06/apakah-relevannya-veteran-mayc.html)

TUN DR. MAHATHIR RASMIKAN KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

1. Pada 29 Mei, 2010 di Hotel M Suites di Johor Bharu Tun Dr. Mahathir, selaku mantan Naib Presiden MAYC di waktu presidennya Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, telah merasmikan penubuhan Kelab Veteran MAYC Malaysia

2. Dalam ucapan mengalu-ngalukan kehadiran Tun Dr. Mahathir saya telah menyatakan rasional Kelab Veteran MAYC ditubuhkan. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang disegani dalam majlis itu maka ucapan saya mengenai sejarah pergerakan belia di negara ini agak terbatas. Ucapan saya kepada Veteran MAYC di Ipoh Perak pada 21 Mei, 2010 telah menghuraikan dengan lebih jelas lagi perkara tersebut.

SEBELUM MERDEKA

3. Sebelum Merdeka kegiatan belia di dalam negara tertumpu kepada pergerakan Pengakap, Briged St. John Ambulan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Saya terlibat di dalam 'Wolf Cub' atau anak serigala, iaitu pengakap muda, waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Senior saya, dalam pergerakan pengakap pada waktu itu ialah Sdr. Sidek Ghouse dan Sdr. Dato' Syed Ahmad Idid yang lebih terkenal dengan kegiatannya dalam The Fraternity of Adventurous. Saya kenal Sdr. Sidek Ghouse dan Tuan Syed Ahmad Idid (kini Dato') waktu saya di Sekolah Ibrahim Sungai Petani, dari tahun 1954 hingga tahun 1956, walau pun mereka tidak kenal saya di waktu itu. Mereka berdua telah bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Agung MAYC pada tahun 1972 apabila saya diperkenalkan kepada mereka oleh Sdr. Taib Wahab yang menjadi Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Sdr. Taib kenal saya sejak beliau menjadi pelajar di Institut Teknologi MARA.

4. Pertubuhan Pengakap, Briged St. John dan GPMS bergiat di dalam sekolah-sekolah, sementara di luar sekolah pula sudah ada pertubuhan Tamil Bell, Hindu Youth, YMCA dan YWCA.

1948 - GPMS

5. GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos, 1948 oleh Encik Aminuddin Baki, Encik Abd. Wahab Ariff, Encik Mohd Nor Marahakim, Encik Abdul Majid dan Ce' Siti Hasmah (kini Tun Dr) di waktu mereka menjadi mahasiswa di Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Ianya ialah hasil keputusan Konvensyen Pelajar Melayu Seluruh Semenanjung yang diadakan pada tahun 1948. Sebelum GPMS ditubuhkan pengasas-pengasasnya telah bergerak cergas dalam Malay Boys League Penang Free School (1937), Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution (1945) dan Kesatuan Penuntut Melayu Selangor (1947).


1949 - YSG > MHYC - 1957

6. Pada 11 Disember, 1949 belia Hindu telah memulakan gerakan mereka di pekarangan Chettiar Hall, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur atas nama 'Youth Spiritual Group'. Pada tahun 1951 'Kuala Lumpur Hindu Youth Organization' telah didaftarkan. Diikuti dengan pendaftaran Hindu Youth Orgaanization (HYO) di Klang dan Ipoh pada tahun 1957. Pada 27 Disember, 1957, iaitu setelah Merdeka, Konvensyen Belia Hindu Pertama telah diadakan di Ipoh di mana Malayan Hindu Youth Council (MHYC) telah ditubuhkan dengan motto 'Service Above Self'. Penaja MHYC ini ialah 1. Encik Satkunam a/l Dr. Unipathy Kandiah, 2. Encik Shanmuganathan a/l Saravanamuthu, 3. Encik Kumarakulasingam a/l Saravanamuthu, 4. Encik Vijayaratnam a/l Saravanamuthu, 5. Encik Senatirajah a/l Murugesu, 6. Encik Balasundram a/l Murugesu, 7. Encik Selvanayagam a/l Kanagasabai, 8. Encik Selvarajak a/l Kandiah, 9. Encik Kanagaratnam a/l Sinniah, 10. Encik Navaratnam a/l Sundram, dan 11. Encik Shanmuganathan a/l Govindasami.

1954 - TAMIL BELL
7. Sementara MHYC merupakan kelab yang membataskan keahliannya kepada yang beragama Hindu, sebagaimana YMCA dan YWCA dianggotai oleh orang-orang yang beragama Kristian, ada sebuah kelab lagi yang diasaskan oleh kaum India tetapi membataskan keanggotaannya kepada bangsa, seperti GPMS untuk orang-orang Melayu, iaitu Kelab Tamil Bell yang ditubuhkan pada tahun 1954.

SETELAH MERDEKA

8. Setelah Merdeka pergerakan Pengakap dan Briged St. John Ambulan tetap giat di sekolah-sekolah sementara GPMS, MHYC, TAMIL BELL, YMCA, YWCA dan lain-lain kelab bergerak di luar sekolah.

1956 - MAYC

9. MAYC telah ditubuhkan pada tahun 1956 oleh Tan Sri Mubin Shepherd yang menjadi Penasihat British kepada Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan DYMM Tuanku Abdul Rahman, yang kemudiannya, apabila Malaya Merdeka, telah menjadi Yang Di Pertuan Agong Yang Pertama. Tan Sri Mubin Shepherd ialah Presiden MAYC yang pertama. Hubungan Tan Sri Mubin Shepherd dengan kerabat di raja Negeri Sembilan telah memudahkan beliau melatih Tunku Abdullah ibn Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai penggantinya menjadi Presiden MAYC kedua apabila beliau berhenti apabila Malaya Merdeka. Tan Sri Mubin Shepherd telah menganut agama Islam dan bersama-sama dengan Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, bergerak di dalam PERKIM.

10. Perkahwinan KDYMM Sultan Kedah dengan puteri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Bahiyah telah mendekatkan Tan Sri Mubin Shepherd dengan kerabat di raja Kedah sehingga seorang dari anggota kerabat di raja Kedah telah menaja penubuhan dan memimpin Kelab Belia Yan yang kemudiannya menjadi kelab belia gabungan MAYC yang pertama di Kedah. Secara kebetulan ayahanda saya Junid sempat menjadi ahli yang aktif dalam bidang bola sepak dalam kelab itu.

1961 - PKPIPTM > PKPIM - 1965

11. Sementara itu membaranya semangat keagamaan di kalangan pelajar-pelajar universiti telah melahirkan Perstauan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) yang ditubuhkan pada 31 Mac, 1961 bertempat di asrama kedua Universiti Malaya. Namanya ditukar menjadi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 29 September, 1965 selaras dengan penubuhan Malaysia. Persatuan Pelajar Islam ini telah diasaskan oleh 10 orang pelajar dari lima Institut Pendidikan Tinggi dalam negara. Mereka ialah: 1. Sdr. Sulaiman Hj. Nordin (Pengerusi - Maktab Pertanian Malaysia sekarang Universiti Pertanian Malaysia), 2. Sdr. Ahmad Johari (Setiausaha - Maktab Pertanian Malaysia), 3. Sdr. Wan Jaafar Abdullah (Universiti Malaya), 4. Sdr. Mohd Ghazali Abdullah (Universiti Malaya), 5. Sdr. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur sekarang Universiti Teknologi Malaysia), 6.Sdr. Annuar Hj. Abd. Razak (Maktab Teknik Kuala Lumpur), 7. Sdr. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya sekarang Maktab Perguruan Islam), 8. Sdr. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya), 9. Sdr. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa), 10. Sdr. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa). Presiden pertama PKPIM ialah Sdr. Hanafiah Ahmad (1961-1962). Dengan wujudnya PKPIM maka gerakan belia dan pelajar yang berorientasi ugama menjadi tiga iaitu Hindu Youth, YMCA; YWCA dan PKPIM.

1966 - 4B

12. Oleh kerana MAYC ialah sebuah NGO maka kegiatannya dibiayai oleh penderma-penderma yang menyokong program belia. Lama kelamaan jumlah ahli MAYC telah bertambah dan dalam satu lawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato' Senu Abdul Rahman telah ditanya sebabnya kelab belia seperti MAYC tidak dapat bantuan kerajaan. Dato' Senu telah menjelaskan bahawa tidak ada peruntukan khas dari kementerian untuk kegiatan belia; Kementerian Kebajikan Masyarakat kadangkala membantu tetapi lebih atas pertimbangan budi bicara sahaja. Jika pergerakan belia inginkan peruntukan mungkin boleh diperolehi dari Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB). Walau bagaimana pun oleh kerana KPNLB itu ialah satu kementerian untuk membantu Bumiputera sahaja maka MAYC yang mempunyai ahli dari berbilang kaum tidak layak mendapat bantuan. Begitu penjelas Dato' Senu.

.13. Dalam perbincangan lain dengan Dato' Senu, setelah perasmian satu majlis Pergerakan Pemuda UMNO Seremban di Nilai, Dato' Senu telah memberitahu wujudnya sebuah gerakan belia di Amerika Syarikat yang bernama 4H. 4H membawa erti tangan (Hand), fikiran (Head), hati (Heart) dan kesihatan (Health). Ikrar anggota kelab 4H ini ialah:

I pledge
my Head to clearer thinking,
my Heart to greater loyalty,
my Hand to larger service,
my Health to better living.

Oleh kerana agak susah untuk memberi nama mengikut orientasi kegiatan maka 4B diertikan sebagai berfikir (B), bersatu (B), belajar (B) dan berkhidmat (B).

14. Gerakan Belia 4B telah diwujudkan pada 12 April, 1966. Walau pun yang memainkan peranan untuk menubuhkan Gerakan Belia 4B ialah YM Engku Mohsein Abdul Kadir selaku Menteri Muda Kementerian Belia dan Sukan dibantu oleh Encik Abdullah Malim Baginda selaku Penolong Pengarah Belia di Kementerian Belia dan Sukan, tetapi orang kuat Dato' Senu Abdul Rahman iaitu Encik Mohd Kassim Shah telah diketengahkan sebagai Presiden Gerakan Belia 4B yang pertama dari tahun 1965 hingga tahun 1969. Presiden yang kedua ialah Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin. Dengan tertubuhkan pertubuhan belia 4B maka wujudlah sebuah lagi kelab yang mewakili hanya belia-belia Melayu selain GPMS.

15. Mengingatkan respon atas soalan bantuan kepada MAYC dan maklumat mengenai pergerakan belia 4H di Amerika Syarikat oleh Dato' Senu maka saya, Dato' Ayob Yahya dan beberapa orang ahli belia, termasuk yang menjadi ahli MAYC, yang juga menjadi ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah keluar dari MAYC dan menubuhkan belia 4B di Seremban

16. Walau pun alasan yang diberi untuk menubuhkan Gerakan Belia 4B ialah kerana banyak kelab belia yang tidak bergabung dengan MAYC, sebab yang saya fahami, pada waktu itu, ialah seperti yang diberitahu oleh Dato' Senu Abdul Rahman yang berkaitan dengan bantuan kerajaan. Apabila saya terlibat dalam politik lebih lama barulah saya sedari bahawa dengan keluarnya ramai belia-belia Melayu dari MAYC untuk masuk ke dalam 4B maka tokoh-tokoh UMNO yang memimpin MAYC di waktu itu, seperti Tun Dr. Mahathir, juga ditinggal oleh ahli-ahli MAYC yang menjadi ahli-ahli UMNO kerana mereka keluar dari MAYC untuk menjadi ahli 4B.

17. Oleh kerana majoriti ahli MAYC beragama Islam, dan memandang kepada perlunya pendidikan agama Islam di kalangan ahli MAYC maka saya telah mewujudkan sebuah jawatankuasa dakwah di dalam Jawatankuasa Pusat MAYC. Walau bagaiman pun saya dapati kegiatannya tidak mencukupi dan sebuah pergerakan belia baru perlu ditubuhkan untuk bergiat dalam bidang dakwah Islamiah. Saya mencadangankan di dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MAYC untuk menubuhkan Angkatan Dakwah Malaysia atau singkatnya ADAM. Saya berharap belia-belia boleh bergerak di dalam pertubuhan ADAM sehingga keakhir hayat. Walau bagaimana pun Ustaz Usman Bakar dari Kampung Gajah yang giat di dalam PKPIM menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakannya dalam PKPIM berpendapat adalah lebih baik badan dakwah yang baru, jika hendak ditubuhkan eloklah sebagai pergerakan belia kerana untuk orang-orang dewasa sudah ada Persatuan Ulama dan Darul Arqam yang juga sedang ditibuhkan. Ustaz Usman Bakar memberitahu kepada saya bahawa nama yang sesuai ialah ABIM atau Angkatan Belia Islam Malaysia. Saya pun membatalkan rancangan menubuhkan ADAM dan ikut bersama dengan rakan-rakan dalam PKPIM, GPMS dan 4B untuk turut menajakan ABIM.

1972 - ABIM

18. Pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia sebuah jawatankuasa telah diwujudkan untuk menubuh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pengerusinya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah. Kemudiannya, dalam muktamar pertama ABIM pada tahun 1972 Ustaz Ghazali Nawawi ( kini Pengerusi sekaligus pengasas Akademi Al Quran Medic Malaysia, selepas beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) telah dipilih menjadi Presiden ABIM yang pertama, Sdr. Sanusi Junid menjadi Naib Presiden dan kemudiannya, setelah Sdr. Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya dalam PKPIM beliau telah dilantik menjadi Setiausaha Agung ABIM. Saya berasa bangga kerana ibu pejabat ABIM yang pertama, waktu didaftarkan ialah rumah saya di No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Kewujudan ABIM menambahkan lagi kelab belia berorientasikan agama di dalam negara.

1975 - GBB

19. Pada tahun 1975, setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan Muar Datuk Dr. Neo Yee Pan telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan. Sebelum beliau berpindah menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 1978 beliau telah memerhatikan peranan yang dimainkan melalui pergerakan belia 4B khasnya dan gerakan belia 'amnya, oleh pemimpin-pemimpin UMNO, untuk mendapatkan tempat di dalam politik. Lantaran itulah beliau menjadi katalis untuk penubuhan Gerakan Belia Bersatu (GBB) yang anggotanya terdiri dari belia-belia keturunan China yang menganggotai MCA. Dr. Neo Yee Pan berjaya untuk menduduki tempat pertama dalam MCA apabila Tan Sri Lee San Choon meletakkan jawatan pada 25 Mac, 1983. Dengan penubuhan Gerakan Belia Bersatu (GBB) untuk belia keturunan China maka bertambahlah lagi kelab belia yang anggotanya terdiri dari satu kaum saja, di samping kelab-kelab belia yang sedia ada seperti Tamil Bell untuk belia keturunan India sahaja dan 4B untuk belia keturunan Melayu sahaja.

20. Oleh itu, peranan MAYC sangatlah penting kerana pertubuhan-pertubuhan belia yang lain adalah tertumpu kepada agama tertentu seperti Hindu Youth, YMCA dan YWCA atau dihadkan keahliannya mengikut bangsa seperti Tamil Bell, GBB, 4B dan GPMS. Dengan wujudnya MAYC semua kaum dari berbilang agama dapat disatukan dengan kegiatan yang relevan untuk belia, kerana tujuan MAYC ditubuhkan ialah untuk memberi kesempatan kepada generasi muda dari berbilang kaum dan berbilang agama, dengan berbagai bahasa ibunda untuk bergiat bersama dalam berbagai kegiatan sosial, sukan, kebajaijan dan kebudayaan supaya mereka mengenal satu sama lain dengan lebih akratb lagi.

MAYC MENCADANGKAN PENUBUHAN KEMENTERIAN UNTUK BELIA

21. Memandang kepada keengganan KPNLB turut membiayai kelab multi-racial sebaliknya pembiayaannya terbatas kepada belanjawan Kementerian Kebajikan Masyarakat yang terbatas, maka MAYC, dalam mesyuarat agungnya pada tahun 1963 telah mencadangkan Kementerian Belia ditubuhkan untuk menjaga kepentingan belia. Berikutan dengan cadangan MAYC maka Kementerian Belia dan Sukan telah ditubuhkan pada 15 Mei, 1964. Dengan tertubuhnya Kementerian Belia dan Sukan maka MAYC juga boleh kekal sebagai kelab yang anggotanya terdiri dari berbilang bangsa, berbilang agama dan berbilang bahasa dan boleh mendapat bentuan kerajaan sebagai kelab yang melambangkan 1Malaysia.

HAD UMUR BAGI PERTUBUHAN BELIA

22. Di waktu 4B ditubuhkan keanggotaannya dihadkan kepada belia yang berumur tidak lebih dari 40 tahun. Had umur ini telah ditambah oleh Presiden 4B ke 2 Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin, di waktu beliau memimpin 4B, untuk membolehkan 4B terus dipimpin olehnya apabila umurnya meningkat.

PENDERMA UMUMNYA BERUMUR LEBIH 40 TAHUN

23. MAYC tidak pernah bersetuju dengan cadangan untuk menghadkan umur kepada 40 tahun, kerana pengalaman kelab-kelab belia di Jepun seperti YUAI Youth Club dan NIPPON KENSEI KAI yang keahlian anggotanya dibolehkan sampai ke akhir hayat. Rasional yang dipegang oleh kelab-kelab belia Jepun untuk tidak menghadkan umur di bawah 40 tahun ialah untuk membebaskan ahli dan pemimpin belia dari kongkongan politik berparti. Lojiknya ialah sesebuah kelab belia itu memerlukan biaya untuk bergerak. Oleh kerana dermawan di Jepun ialah di kalangan mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun, atau pun dari kalangan mereka yang sudah berpindah dari hanya menjadi ahli perniagaan yang berjiwa Confucius kepada dermawan yang berjiwa Mencius maka para penderma mahu menderma jika mereka dibenarkan untuk menjadi ahli dan menghadiri mesyuarat agung kelab untuk memastikan derma mereka tidak disalahgunakan. Walau pun mereka yang umurnya lebih 40 tahun ingin hadir dalam mesyuarat agung kelab tetapi mereka tidak berminat memegang sebarang jawatan kecuali, mungkin, sebagai pemeriksa kira-kira sahaja. Di Jepun, kelab-kelab belia mereka tidak terikat kepada pemerintah kerana kerajaan tidak membiayai mereka. Malahan Perdana Menteri Jepun biasanya dari salah sebuah kelab belia di Jepun, dan mereka memahami aspirasi orang-orang muda di Jepun.

24. Walau pun Kementerian Belia dan Sukan telah ditubuhkan atas desakan MAYC melalui usulnya di dalam mesyuarat agung tetapi, secara perbandingan, MAYC paling sedikit mendapat bantuan pihak kementerian jika dibandingkan dengan kelab-kelab belia lain. Ini tidak menjadi masalah bagi MAYC kerana ahli-ahli MAYC yang umurnya lebih 40 tahun lumayan menderma untuk kegiatan-kegiatan MAYC. MAYC malah bebas bergerak di mana saja tanpa sekatan politik oleh mana-mana pihak.

PENGARUH BELIA DALAM POLITIK

25. Walau pun MAYC mempunyai ahli dari berbilang kaum, agama dan bahasa, tetapi majoriti ahli MAYC adalah penyokong UMNO, parti-parti komponen dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Ada juga ahli-ahli MAYC menjadi ahli-ahli dan pemimpin dalam parti PAS dan DAP seperti Zainal Rampak dan P. Patto. Di satu masa dulu, di waktu saya menjadi Setiausaha Agung UMNO lebih 40 peratus perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO terdiri dari pemimpin atau bekas pemimpin MAYC.

26. Banyak sekali Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, selain jumlah yang cukup ramai yang menjadi Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri-Negeri dari kalangan pemimpin dan bekas pemimpin dan ahli MAYC. Kelab-kelab belia selain MAYC juga mempunyai ramai pemimpin dan ahli dari berbagai peringkat yang memainkan peranan dalam perubuhan politik berbagai parti. Ini menjadi bukti bahawa kelab-kelab belia telah menjadi gelanggang latihan untuk seseorang itu belajar memimpin.

27. Berbagai program telah dilaksanakan oleh MAYC untuk membangun kekuatan mental, jasad dan rohaniah (MENJARO) ahli-ahli dalam mempersiapkan belia dan beliawanis dalam menghadapi cabaran hidup dalam bidang politik, ekonomi dan masyarakat (POLEMAS). Sumbangan kelab-kelab belia dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang nyata dan tidak dapat dinafikan.
DEMONSTRASI TAHUN 1974

28. Pada tahun 1974 sebuah demonstrasi, yang dianggap menentang kerajaan, telah diadakan di mana tokoh-tokoh belia dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah turut mengambil bahagian yang cergas. Oleh kerana pemimpin ABIM dan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) pada waktu itu adalah sama maka Kementerian Belia dan Sukan di mana Pengarah Belianya ialah Dato' Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) telah mencadangkan untuk mengharamkan MBM dan menubuhkan badan induk baru untuk belia bernama MAJLIS BELIA KEBANGSAAN (MBK). Rancangan ini didukung oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah pimpinan Dato' Harun Idris yang juga menjadi Menteri Besar Selangor dan pergerakan belia 4B yang dipimpin oleh Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin, iaitu anak saudara Dato' Harun.

29. Majlis Belia Kebangsaan (MBK) yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu mempunyai struktur baru di mana setiap kelab belia akan menjadi cawangan kepada kelab induknya, dan ketua kelab cawangan dilantik oleh Presiden kelab induk, seperti kelab 4B di waktu itu, umur ahli kelab belia dibataskan kepada 40 tahun ke bawah dan pemimpin Majlis Belia Negeri (MBN) dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri.

MAYC MENENTANG PENGHARAMAN MBM DAN RANCANGAN PENUBUHAN MBK

30. MAYC telah menentang rancangan kerajaan untuk mengharamkan MBM kerana pada pendapat MAYC keputusan untuk mengadakan demonstrasi itu tidak pernah dibuat dalam mesyuarat MBM dan MBM tidak boleh disalahkan. MAYC juga menentang rancangan Kementerian Belia dan Sukan untuk menubuhkan MBK di bawah struktur barunya. Pada pendapat MAYC kebebasan belia akan terbantut apabila dermawan yang umurnya di atas 40 tahun tidak dibenarkan menjadi ahli MAYC dan semua kegiatan MAYC terpaksa bergantung kepada biaya belas kasih pihak kerajaan; menjadikan semua kelab-kelab gabungan sebagai cawangan kelab induk dan ketuanya dilantik oleh Presiden kelab induk akan membunuh semangat demokrasi dalam pemilihan pemimpin di peringkat kelab, dan pemimpin kelab cawangan hanyalah dari kalangan belia yang jinak dengan pemimpin atasan; lantikan pengerusi MBN oleh Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri pula mengongkong kegiatan politik belia dan membawa risiko pemilihan pengerusi MBN diasaskan kepada orientasi politik MB dan KM yang tidak semestinya dari parti yang dipersetujui oleh ahli-ahli MAYC. Struktur ini hanya menguntungkan Dato' Harun dan Dato' Haji Shuhaimi selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua 4B kerana merekalah yang akan menentukan siapa yang menjadi Pengerusi MBN, iaitu pemimpin 4B yang ditunjuk oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada MB.

MAYC KELUAR DARI MBM

31. Oleh kerana Pengarah Belia di waktu itu telah mengetahui MAYC menentang penubuhan MBK sebagai ganti kepada MBM maka pemimpin-pemimpin MAYC telah diberitahu bahawa kerajaan akan mengharamkan MBM dan mengikut Akta Pertubuhan apabila badan induk MBM diharamkan maka semua kelab yang bergabung dengan MBM akan menjadi haram dan tidak sah wujud lagi. Apabila MAYC mengetahui mengenai ancaman ini maka MAYC di dalam mesyuarat agungnya telah memutus untuk keluar dari bergabung dengan MBM sebelum MBM diharamkan. Dengan cara ini maka MAYC tidak haram apabila MBM diharamkan. Yang haram ialah kelab-kelab yang masih bergabung dengan MBM.

PERDANA MENTERI TUN ABDUL RAZAK SOKONG PENDIRIAN MAYC

32. Tindakan drastik MAYC kerana keluar dari MBM telah menarik perhatian Tun Abdul Razak, dan beliau telah menjemput saya ke rumahnya pada satu pagi sebelum Tun ke mesyuarat kabinet. Saya telah menjelaskan kepada Allahyarham Tun sebab-sebab MAYC menentang pengharaman MBM kerana MAYC tidak menganggap MBM terlibat dalam demonstrasi kerana MAYC sebagai anggota MBM tidak pernah merestuinya, dan tidak ada keputusan mesyuarat MBM untuk berdemonstrasi. MAYC juga menentang rancangan penubuhan MBK oleh Kementerian Belia dan Sukan kerana MAYC menganggap struktur MBK akan melemahkan semangat demokrasi dan semangat juang belia-belia di masa akan datang. Pemimpin belia di masa akan datang akan terdiri dari mereka yang patuh dan ingin mengekalkan jawatan walaupun bertentangan dengan prinsip. Belia akan hilang keberanian dengan terbantut demokrasi dalam sistem pemilihan pemimpin. Pemimpin belia di masa yang akan datang hanya akan menjadi pengikut Dato' Harun dan Dato' Haji Shuhaimi. MAYC bukan belia sedemikian.

33. Tun Abdul Razak bersetuju dengan pendirian MAYC dan terus membatalkan rancangan penubuhan MBK.

MAYC KEMBALI MENJADI ANGGOTA MBM

34. Apabila saya menyerah pimpinan MAYC kepada Dato' Syed Hamid Albar perkara yang pertama yang diputuskan oleh MAYC di bawah pimpinan baru ialah untuk mengembalikan MAYC ke dalam MBM. Bagi saya ini bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana MBM itu ialah MBM yang kekal wujud kerana perjuangan MAYC jua. Dato' Syed Hamid, yang belum bergiat di dalam MAYC di waktu peristiwa MAYC keluar dari MBM berlaku, mungkin tidak mengetahui sebab MAYC bertindak demikian dan tidak merasakan kehebatan MAYC mempertahankan nama baik MBM di waktu itu.

IDE SIAPAKAH UNTUK MENGHARAMKAN MBM DAN MERANCANGKAN PENUBUHAN MBK?

35.. Entah kenapa, apabila Ketua Pengarah Belia waktu MBM hendak diharamkan, menjadi Timbalan Perdana Menteri, dalam lawatan beliau ke Kedah di mana saya menjadi Menter Besarnya, beliau telah tarik saya ketepi hanya untuk membisik bahawa beliau dan saya adalah sependapat mengenai tentangan saya terhadap pengharaman MBM dan Penubuhan MBK.

36. Malangnya, apabila Ketua Pengarah Belia yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke 5 seorang Menteri yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan belia telah melaksanakan program yang hampir sama dengan yang dicadangkan oleh Ketua Pengarah Belia, yang sama, di masa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hendak mengharamkan MBM dan menubuhkan MBK, di zaman Tun Abdul Razak dahulu.

37. Jelas sekali MAYC di zaman Perdana Menteri ke 5 tidak pernah mengeluarkan pendapat untuk mempertahankan pendirian MAYC sebelumnya. Mungkin kerana MAYC Kebangsaan tidak rajin mengadakan mesyuarat agung sebagaimana yang dikehendaki oleh perlembagaannya. Walau bagaimana pun mereka berminat kepada pendapatan yang diperolehi dari harta MAYC walau pun hutangnya tidak diuruskan.

MAYC KINI

38. Saya difahamkan, sementara semua kelab belia yang ada di negara ini sudah pun ditubuh semula di bawah struktur baru yang dikehendaki oleh kerajaan pihak MAYC yang saya tinggal sudah tidak bermesyuarat agung sepanjang lebih 5 tahun, dan MAYC baru pun masih menunggu mesyuarat agung penubuhannya.

39. Sementara pergerakan belia kini bergerak dengan lembab jika dibandingkan dengan masa yang lalu, Kementerian Belia dan Sukan pula dibeban dengan berbagai jenis kegiatan sukan seperti Piala Thomas dan Uber (di mana kita gagal mara ke perlawanan akhir) dan Piala Bola Sepak Dunia di Afrika Selatan di mana kita hanya berjaya menghantar seorang pengadil sahaja iaitu saudara Subkidin Mohd Saleh.

PENUTUP

40. Jika Barisan Nasional berasa cemas dengan sambutan generasi muda terhadap pemerintahan ianya dapat difahami jika pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada kegiatan pertubuhan-pertubuhan belia. Kegiatan parti pembangkang masakini diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang ramai pernah gigih di dalam pergerakan belia di masa lalu, sedangkan pemimpin muda dalam parti kerajaan masa kini telah tidak terdedah kepada gelombang aktiviti pergerakan belia.

41. Soalannya ialah samada kuda-kuda yang dididik di dalam gelanggang mampu berlumba dengan kuda sarkas di kandang dan seterusnya dengan kuda lumba di padang..

42. Dalam keadaan negara memerlukan barisan pelapis yang dinamik dan bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dengan keadaan persengketaan antara kaum dan di dalam setiap kaum belia perlu didedah, dilatih dipimpin dan diajar memimpin supaya rakyat dapat bersatu dengan pengalaman bersama, penderitaan bersama dan azam untuk bersatu disemarakkan semula.

43. Melalui pertubuhan-pertubuhan belia kerajaan dan masyarakat boleh menggerakkan tenaga muda dalam usaha membasmi kemiskinan, pengangguran, maksiat, gejala sosial, dadah dan sebagainya. Belia dan beliawanis boleh memainkan peranan menyatupadukan rakyat Malaysia.

44. Kelab Veteran MAYC ditubuhkan sebagai jawapan kepada soalan-soalan di atas.