Sunday, October 31, 2010

KENYATAAN AKHBAR: Kedudukan Terkini MAYC Kebangsaan Pada Akhir Oktober 2010

KENYATAAN AKHBAR: Kedudukan Terkini MAYC Kebangsaan Pada Akhir Oktober 2010
Pada 12 Oktober 2010, akhbar Utusan Malaysia telah mewartakan tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar bahawa saudara Akhramsyah Sanusi, selaku Presiden MAYC yang terpilih pada Mesyuarat Agung 31 Julai 2010, bukan sekadar tidak sah perjawatannya malah berbohong tentang rancangan AJK Tan Sri untuk mengalihkan semua harta MAYC ke Yayasan MAYC.
Pada laporan yang sama, Tan Sri Syed Hamid telah menyatakan laporan polis akan dibuat terhadap tindakan-tanduk saudara Akhramsyah Sanusi. Susulan dari itu, MAYC Kebangsaan ingin memberi maklum-balas berikut:
1.    Ketetapan tentang sah atau tidaknya saudara Akhramsyah Sanusi sebagai Presiden MAYC tidak berada di bawah bidang kuasa Tan Sri Syed Hamid Albar. Walaupun menghormati kedudukan beliau sebagai bekas Presiden MAYC Kebangsaan, Jawatankuasa MAYC Kebangsaan yang dipilih Mesyuarat Agung pada 31 Julai 2010 ingin menyarankan beliau menjauhkan diri dari anasir-anasir yang ingin mempergunakan beliau untuk merebut hak ahli-ahli kelab-kelab belia gabungan MAYC.
MAYC menyarankan demikian demi menjamin integriti Tan Sri Syed Hamid sendiri selaku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kami tidak mahu kedudukan dan nama baik Tan Sri bertambah terjejas hasil penglibatan berterusan beliau dalam usaha anasir-anasir tertentu memorak-perandakan MAYC demi kepentingan peribadi.
2.    Saudara Akhramsyah Sanusi masih menerima sokongan majoriti kelab-kelab gabungan MAYC. Jawatankuasa pimpinan beliau juga terus aktif menjalankan program dengan gandingan MAYC-MAYC Negeri. Contohnya, sepanjang Oktober, pelbagai program dilaksanakan untuk membangun kepimpinan dan keupayaan mentadbir pemimpinan belia MAYC pada peringkat Kelab dan Kawasan, dianjurkan di Negeri Sembilan, Terengganu dan Wilayah Persekutuan dengan penyertaan belia dari seluruh negara.
Oleh itu, tuduhan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang pembohongan saudara Akhramsyah Sanusi tempohari ternampak ditolak sama-sekali oleh golongan belia MAYC. Malah, saudara Akhramsyah kelihatan semakin popular kerana tuduhan Tan Sri menjadi seolah-olah bukti keberanian beliau. Lebih buruk untuk Tan Sri Syed Hamid, beliau tidak menjawab secara terperinci persoalan pokok tentang rencana mengalihkan harta MAYC, maka kecurigaan tentang rencana tersebut semakin menular.
3.    Lebih buruk untuk MAYC, hasil kenyataan Tan Sri Syed Hamid Albar tentang rencana melaporkan saudara Akhramsyah kepada polis, begitu banyak agensi kerajaan dan pihak swasta kini sangsi untuk meneruskan kerjasama dengan MAYC. Ini amat merugikan kelab-kelab belia MAYC. Padahal, sejak terbitnya laporan akhbar tersebut, pihak polis tidak pun mengambil apa-apa tindakan terhadap saudara Akhramsyah, mahupun AJK MAYC pimpinannya, menyebabkan kami tertanya-tanya sama ada betulkah laporan polis dibuat?
4.    MAYC kini menggesa pihak berkuasa, terutama sekali Kementerian Belia dan Sukan, baik Pendaftar Belia mahupun pejabat Menteri sekalipun untuk menyegerakan keputusan berkenaan kesahihan Mesyuarat Agung MAYC. Setakat ini pihak ROY sepatutnya sudah menerima bantahan yang di buat lebih daripada 55 Kelab, Kawasan atau Negeri gabungan MAYC bersabit Mesyuarat Agung 26 September 2010 yang tidak menepati kehendak perlembagaan dan menidakkan hak begitu ramai ahli kelab gabungan MAYC.
Sebagai perbandingan, Mesyuarat Agung MAYC pada 31 Julai yang memilih jawatankuasa pimpinan saudara Akhramsyah hanya dibantah oleh 2 pihak, yakni bekas Timbalan Presiden MAYC dan Pengerusi Negeri Melaka. Kami yakin bantahan dari kedua-dua pihak ini pun adalah hasil dari hasutan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Ternyata MAYC masih bergerak maju demi belia 1Malaysia, cuma masalah timbul hasil dari usaha peribadi beberapa individu yang malangnya berjaya mempengaruhi Tan Sri Syed Hamid Albar.
Yang benar,
AZMI BIN ISMAIL (31 Oktober 2010)
Naib Presiden MAYC Kebangsaan, 019-4216119
Sila rujuk juga,
AHMAD ANSOR RIVAI BATUBARA
Setiausaha Agung MAYC Kebangsaan, 017-5972478



No comments:

Post a Comment