Sunday, August 29, 2010

JAWAPAN KEPADA KEPUTUSAN MENGENAI BANTAHAN PENGANJURAN “MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MAYC KEBANGSAAN OLEH JAWATANKUASAA-JAWATANKUASA NEGERI BERTINDAK SEBAGAI JAWATANKUASA PELAKSANAAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MAYC 2010” PADA 31 JULAI 2010 DI DEWAN KONVENSYEN TAN SRI ABDUL KADIR, INTERNATIONAL INSTITUTE OF ADVANCE ISLAMIC STUDIES (IAIS), KUALA LUMPUR

Ruj. Tuan:        PPPB:01-11/0769(36)
Ruj. Kami:        MAYC (10)/ P/ROY/2010

23 Ogos 2010

En Sa’don bin Suraji
Pendaftar Pertubuhan Belia
Kementerian Belia & Sukan Malaysia
Aras 4, Menara KBS.
No. 27 Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan                                      
62570 PUTRAJAYA  

SERAHAN TANGAN                                                                                               DENGAN SEGERA

Tuan,

KEPUTUSAN MENGENAI BANTAHAN PENGANJURAN “MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MAYC KEBANGSAAN OLEH JAWATANKUASAA-JAWATANKUASA NEGERI BERTINDAK SEBAGAI JAWATANKUASA PELAKSANAAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MAYC 2010” PADA 31 JULAI 2010 DI DEWAN KONVENSYEN TAN SRI ABDUL KADIR, INTERNATIONAL INSTITUTE OF ADVANCE ISLAMIC STUDIES (IAIS), KUALA LUMPUR

Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara di atas dan surat tuan bertarikh 18 Ogos 2010 (“surat tersebut”).

1.        Pada suatu masa yang material, AHMAD ANSOR BIN MUHD RIVAI BATUBARA adalah Setiausaha Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010

Surat tersebut telah diserahkan oleh pihak tuan kepada Ahmad Ansor bin Muhd Rivai Batubara yang pihak tuan nyatakan sebagai Setiausaha Jawatankuasa-Jawatankuasa Negeri Bertindak Sebagai Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010.

Kami ingin memperbetulkan kefahaman pihak tuan bahawa Ahmad Ansor bin Muhd Rivai Batubara pada suatu masa yang material ialah Setiausaha Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010. Beliau pada masa yang material bertindak oleh dan bagi pihak Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri yang berkenaan.


Ketidakfahaman pihak tuan selaku Pendaftar Pertubuhan Belia adalah AMAT DIKESALI.


2.        SURAT YANG PIHAK TUAN RUJUK – BIL PKBM:(21)AKTA(ROY)/2010 BERTARIKH 11 OGOS 2010 (SURAT BANTAHAN)

Pihak tuan GAGAL melampirkan surat bantahan yang dikatakan dibuat oleh seorang Timbalan Presiden MAYC Kebangsaan untuk dirujuk oleh pihak kami. Pihak tuan juga GAGAL melampirkan surat bantahan yang diterima daripada Pengerusi MAYC Negeri Melaka 2010.


Pihak tuan hendaklah mengendalikan kes di hadapan tuan dengan pengetahuan yang secukupnya tentang latar belakang kes.


(a)  Ahli kepada Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) ialah suatu entiti legal dan bukannya seseorang individu. Sila rujuk Fasal 7 Perlembagaan MAYC.

(b) Justeru, bantahan yang dibuat mestilah oleh Ahli MAYC dan bukannya oleh seseorang individu di atas apa jua jawatannya. Kegagalan pihak tuan memahami struktur organisasi MAYC adalah AMAT DIKESALI.




Oleh yang demikian, BANTAHAN yang dikemukakan dihadapan tuan adalah tidak wujud dan tiada sebarang keputusan perlu dibuat oleh pihak tuan.

Inter Alia, kali terakhir MAYC mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya ialah pada sebarang masa pada tahun 2005. Menurut Fasal 18 Perlembagaan MAYC, kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan MAYC kepada seseorang yang dipilih dan/atau dilantik untuk apa jua jawatan oleh Mesyuarat Agung Tahunannya hanyalah untuk tempoh dua tahun sahaja. Secara perlembagaannya, kuasa yang diberikan itu berakhir pada sebarang masa yang material pada tahun 2007. Oleh yang demikian MAYC Kebangsaan, selepas tarikh yang tersebut TIDAK LAGI mempunyai Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung dan Penolongnya, Bendahari Kehormat dan Ahli-ahli Jawatankuasa.

Komposisi Jawatankuasa Kebangsaan yang hanya wujud pada sebarang masa selepas tahun 2007 hanyalah Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri. 

3. MAKSUD FASAL 13.3 PERLEMBAGAAN MAYC

Semasa ketiadaan Mesyuarat Agung, Pengurusan MAYC adalah tertakluk kepada Jawatankuasa TERTAKLUK KEPADA PERUNTUKAN–PERUNTUKAN DI DALAM PERLEMBAGAAN.

Istilah Jawatankuasa di dalam Fasal di atas merujuk kepada komposisi yang dinyatakan oleh Fasal 22.1 Perlembagaan MAYC. Pihak tuan hendaklah membaca Fasal 18.3 secara serentak dengan Fasal 22.1 dan Fasal 13.3 di atas dan pihak tuan juga hendaklah mengambil kira tarikh terakhir Mesyuarat Agung MAYC Kebangsaan pada sebarang masa tahun 2007. Maka komposisi Jawatankuasa Kebangsaan yang hanya wujud pada sebarang masa selepas tahun 2007 HANYALAH komposisi yang dinyatakan oleh Fasal 22.1.9 iaitu Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri.

Bagaimanakah pihak tuan boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan Bilangan Yang Pertama Tahun 2010 sebagai tidak sah? Dengan sukacitanya kami ingin memperjelaskan bahawa maksud istilah Jawatankuasa yang terkandung dalam Fasal 13.3 ialah Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri.

4. FASAL 15.2 & FASAL 15.3 PERLEMBAGAAN MAYC

Fasal 15.2 menyatakan betapa mandatorinya suatu Notis Panggilan Mesyuarat diedarkan. Notis Panggilan Mesyuarat bertarikh 24 Jun 2010 telah diedarkan dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

Salinan laporan tahunan MAYC dan penyata Kira-kira Tahunan MAYC yang telah diaudit tidak diedarkan kerana pihak Jawatankuasa (iaitu Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri) tidak mempunyai akses kepada perkara-perkara tersebut kerana ianya di bawah kawalan Mantan Presiden, Mantan Setiausaha Agung dan Mantan Bendahari yang tidak memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak Jawatankuasa (iaitu Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri). Perkara ini bagaimanapun, bolehlah dikira sebagai irrregulariti yang bukanlah alasan yang cukup material untuk menidakkan keesahan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010. Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010 juga telah bersetuju sebulat suara untuk menangguhkan pembentangannya sehingga Jawatankuasa Kebangsaan yang dibentuk oleh Mesyuarat Agung Tahunan 2010 mendapatkan semula akses dan kawalan terhadap perkara-perkara tersebut. Inilah sebabnya mengapa agenda 15.3.3 dan 15.3.4 tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Namun begitu, agenda yang paling substantif iaitu Fasal 15.3.5 telah disempurnakan oleh Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010 dan suatu Jawatankuasa Kebangsaan MAYC dapat dibentuk bersesuaian dengan kehendak Perlembagaan MAYC.

5. FASAL 24.4.2 PERLEMBAGAAN MAYC

Tugas Setiausaha Agung menurut Fasal di atas setelah dibaca bersama Fasal 13.3, Fasal 22.1 dan Fasal 18.3 TELAH DILAKSANAKAN SEBAIKNYA oleh Setiausaha Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010 yang dilantik oleh Jawatankuasa (Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri) untuk bertanggungjawab atas kesempurnaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010.



6. FASAL 18.2 PERLEMBAGAAN MAYC

Oleh kerana akses dan kawalan “Ibu Pejabat MAYC” tidak diboleh diakses dan/atau dikawal oleh Jawatankuasa (Pengerusi-pengerusi MAYC Negeri), maka istilah “Ibu Pejabat” hendaklah dibaca sebagai Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010. Pencalonan telah dibuat oleh MAYC Negeri di dalam boring yang disediakan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan MAYC Kebangsaan 2010 dan ianya telah sampai EMPAT BELAS (14) hari SEBELUM TARIKH Mesyuarat Agung. Peruntukan Fasal 18.2 telah dipatuhi dengan sebaiknya.

7. KEPUTUSAN OLEH PENDAFTAR

Pihak tuan di dalam surat tersebut (surat pihak tuan bertarikh 18/08/2010) menyatakan bahawa SIASATAN TELAH DILAKUKAN DAN MENELITI KESEMUA ASPEK. Namun pihak tuan dilihat gagal membaca Perlembagaan MAYC serta Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668). Pihak tuan gagal mengambil kira fakta-fakta yang material yang menjadi latar belakang MAYC untuk mengendalikan kes di hadapan tuan. Pihak tuan juga dilihat GAGAL MENDAPATKAN apajua maklum balas dan menghubungi pihak-pihak di dalam pertikaian.

8. MAKSUD SEKSYEN 28 AKTA 668

Setiap pertikaian yang dirujuk di hadapan tuan untuk sesuatu keputusan hendaklah dibuat dengan suatu proses undang-undang. Pihak-pihak di dalam pertikaian hendaklah dipanggil dan disoal siasat dan semua fakta-fakta, dokumen-dokumen  dan instrumen-instrumen hendaklah diberikan peluang untuk dibentangkan. Kenyataan-kenyataan saksi juga hendaklah direkodkan. Hujah-hujah daripada setiap pihak juga hendaklah didengari. Keputusan yang dibuat tanpa proses undang-undang TIDAK AKAN DIANGGAP SEBAGAI SESUATU KEPUTUSAN OLEH PENDAFTAR menurut Seksyen 28 Akta 668. Prosedur yang dinyatakan oleh 29(2) Akta 668 boleh secara tersiratnya hendaklah dipakai oleh Pendaftar dalam membuat keputusannya menurut Seksyen 28 akta 668.



9. RAYUAN KEPADA PANEL PENYELESAIAN PERTIKAIAN

Tanpa Prejudis tentang hak pihak kami untuk merayu kepada  Panel Penyelesaian Pertikaian menurut Seksyen 28(2) Akta 668, pihak kami juga sedang dalam membuat pertimbangan untuk membuat suatu rujukan kepada Mahkamah Tinggi dan/atau memfailkan permohonan untuk mendapatkan Perintah Certiorari terhadap pihak tuan kerana gagal mematuhi kehendak Seksyen 28 (1) Akta 668


10. RUJUKAN TERUS KEPADA PIHAK MENTERI

Pihak kami juga akan merujuk terus kepada pihak Menteri Belia dan Sukan dalam kadar segera untuk mendapatkan perhatian yang sewajarnya bagi memastikan pergerakan belia tidak dibantutkan oleh kekangan penyelesaian melalui proses undang-undang semata-mata.

Sekian.

Yang benar,

 t.t.
AHMAD ANSOR BIN MUHD RIVAI BATUBARA
Setiausaha Agung
Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia


s.k.      1. YB Menteri Belia dan Sukan

            2. Y. Bhg. Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan

            3. Tetuan Irzuan, Peguambela & Peguamcara

            4. Y. Bhg Presiden Majlis Belia Malaysia

2 comments:

  1. ermm..hairan bin ajaib dengan situasi yg melanda MAYC ketika ini......kenapakah mereka ini tergamak mensabotaj kepentingan belia2..apakah mereka ini ada kepentingan peribadi,,,MAYC milik belia dan hak kelab2 belia.....janganlah pihak yg berkepentingan dan pihak ROY berpakat menyalahgunakan kuasa demi hawa nafsu sendiri ,tak baik dan berdosa....ketahuilah...dosa2 anda semua bukan pada individu tapi pada belia2 seluruh Malaysia yg terlibat....tak takut seksa kubur kerr...kepimpinan baru MAYC yang diterajui oleh En.Akramshah nampaknya sudah terang lagi bersuluh dalam keadaan teraniaya...bersabarlah dan bertawakal lah nescaya Allah bersama pihak yg benar..nampaknya darah pejuang orang lama Dato'Sanusi Junid mengalir jua pada anaknya...pejuang2 tulen sejati seperti En.Azmi Ismail,En. Ku, En.Ansor dan yg lain2 seharusnya harus lebih agresif dalam mempertahankan kebenaran demi kesejahteraan belia2 yg bernaung di bawah payung harimau MAYC...semoga Allah bersama anda semua dan kepada antagonis2 pengacau berhati iblis gila kuasa gila harta gila kedudukkan anda semua seharusnya bertaubat dan menyesali akan tindak tanduk anda yg salah itu........ada dikalangan anda yg kubur kata mari tapi masih tak sedar2 diri masih anggap diri belia remaja...kembalikan hak belia kepada belia..salam dariku pencinta belia.....

    ReplyDelete
  2. Difahamkan ansor pengamal undang-undang, tapi dalam masa sama ansor tak tahu undang-undang. Disebabkan puak yang jahil undang-undang inilah menyebabkan MAYC lumpuh.

    ReplyDelete